Thursday, January 29, 2009

Episod 2

Ayu kelemasan dalam dakapan Fir. Kucupan hangat Fir menerawang dalam benak logiknya. Ayu mula merasakan arus elektrik cinta bervoltan sederhana menyelubungi Fir selama ini. Ayu tidak perasan semua itu selama ini. Fir mula berani memulakan langkah.

Tidakkah Ayu menghidu tanda-tanda Fir menyukainya? Setiap hadiah yang Fir hantarkan, jambangan bunga dan gula-gula kesukaannya? Cara Fir memandangnya... tidakkah Ayu memahami?

Fir melepaskan pelukannya dan memandang Ayu yang masih menutup matanya. Masih memegang jejari Ayu, Fir membisikkan kata-kata cinta yang menyedarkan Ayu dari khayalannya. Fir dan Ayu berjalan berpegangan tangan ke arah rakan-rakan mereka yang bersedia menghitung detik tahun baru dan percikan bunga api. Sekali lagi di bawah percikan bunga api yang ketiga, mereka berkucupan lagi tanpa disedari.

Fir melepaskan Ayu bergembira bersama rakan-rakannya, sementara dirinya berseronok sakan bersama puaknya. Fir melupakan Ayu sebentar untuk bersuka ria dengan berlumba renang dan bermain gelongsor air seperti kanak-kanak. Ayu cuma menggeleng riang melihat telatah Fir dan rakan-rakannya yang berkelakuan seperti anak-anak ketam hilang pedoman di air pasang.

Usai segala parti dan keseronokan, Fir menawarkan diri untuk menghantar Ayu pulang. Ayu terpaksa menolak lembut pelawaan Fir kerana telah berjanji dengan rakannya, Lina untuk bermalam bersama. Fir tidak membantah, kerana baginya bersabar itu lebih banyak ganjarannya kelak. Secara senyap-senyap, Fir mengekori Ayu yang memandu keretanya bersama Lina di sepanjang perjalanan mereka di Lebuhraya NKVE. Biarlah mereka selamat ke destinasi, fikir Fir. Fir membiarkan memori indahnya bersama Ayu terhenti setakat itu. Fir hanya memandu perlahan di belakang kereta Ayu sambil menghisap cerut dan mendengar lagu ABBA Lay All Your Love On Me nyanyian Amanda Seyfried kesukaannya. Ayu dan Lina tidak menyedarinya.

Fir semakin tidak keruan. Wajah Ayu bermain di benak fikirannya. Foto-foto malam tahun baru menjadi pengubat rindu Fir padanya. Lagu-lagu Katy Perry diulang beberapa kali sehingga videp klipnya pun Fir tonton sehingga puas. Fir mula melayan drama Desperate Housewives dengan harapan mendapat beberapa petua daripadanya. Sambil membelek anak patung buaya pemberian Ayu, Fir nekad untuk meng'enjin' Ayu sepanjang musim.

Ayu pasti ke mejanya Isnin ini, getus Fir. Pasti. Fir akan dipesonakan dengan lenggok menawan kalbu serta geselan kaki Ayu. Dan pasti disertai senyuman maut yang membuat Fir mabuk seperti meneguk Tiger Beer. Malam itu juga, Fir keluar ke 1Utama mencari sesuatu untuk Ayu, dan mungkin juga untuk Izah, kekasih gelapnya merangkap ibu kepada sepasang anak kembar. Ah, wajah manja Izah terpampang pula di ruang mata!

Tentang Izah, sudah lama Fir memikirkan tentang hubungan terlarang mereka. Walaupun pejabat mereka cuma dipisahkan dua blok bangunan, itu tidak menjadikan halangan kepada mereka bertemu dan meluahkan isi hati yang membara. Jika tidak, masakan aksi pertarungan romantik atas langit mereka dalam kabin persendirian pesawat A380 itu berlaku. Masakan asmara mereka di sebuah hotel di Manila terjadi. Fir dan Izah memang menyayangi antara satu sama lain, bahkan lebih daripada kawan baik seperti yang mereka akui. Tetapi Fir harus menyedari bahawa Izah tidak mungkin menjadi hak milik mutlaknya. Izah sudah bersuami. Izah mempunyai keluarga. Sedangkan Fir tidak, bahkan bujang senang pula. Bukan mudah untuk Fir untuk memutuskan ikatan asmaranya bersama Izah. Izah tetap wanita yang digilainya. Tetapi bagaimana dengan Ayu?

Pagi Isnin itu, Fir segak berpakaian persis CEO. Hadiah untuk Ayu dan Izah tersemat kemas dalam lacinya, menanti untuk diberikan kepada bakal penerimanya. Fir harus pandai mengatur langkah caturnya agar tiada perang atau salah faham politik tercetus yang pasti menimbulkan konflik cinta segitiga Bermudanya. Sepagi-pagi Fir menunggu kedatangan Ayu, tetapi hampa. Ayu tidak singgah ke mejanya. Ayu tidak kelihatan. Fir mula mengeluh, tetapi persaingan liga harus diteruskan. Fir akan tetap bersabar dan yakin Ayu akan datang menyembahnya nanti. Menyembah Fir? Sekali-kali tidak. Fir bukan tuhan. Fir tidak akan bergantung kepada ilmu halus Tok Dalik atau menggunakan puaka Niyang Rapik untuk memiliki wanita itu. Tidak sekali-kali. Percintaan dan perbuayaan juga harus menurut SOP universal.

Temujanji Fir bersama Izah di restoran pada tengah hari itu berjalan. Mereka berjalan seperti biasa ke dalam, menuruti tangga ke ruang atas dan duduk di meja yang sudah ditempah Fir. Dengan kedudukan yang agak strategik dan romantik, Fir mencapai jejari Izah dan memandang tepat ke matanya.

"Darling, Fir ada sesuatu untuk you."

"Ada-ada aje benda Fir nak kasi kat Izah."

"Tutuplah mata tu sayang. You'll gonna like it."

Dengan alunan irama lagu La Comparsa, Fir meletakkan hadiahnya ke atas tangan Izah, dan mencium dahinya.

"Bukalah," dan Izah terlopong melihat hadiahnya membuatkan Fir senyum lebar.

Fir menghadiahkan Izah set wangian lengkap Chanel yang harganya pasti ratusan ringgit. Tetapi Fir tidak kisah, asalkan Izah bahagia. Sudah tentu Izah terlopong tanpa kata. Disertai sekeping kad cinta dan sekuntum ros merah, dan ciuman di dahi melengkapkan hari gembira buat Izah. Fir pasti mahu melihat aku lebih cantik, anggun dan menawan apabila bersamanya, detik hati Izah. Jangan risau, sayangku, kau pasti tertawan.

"Thank you, Fir sweetheart."

Belum pun hidangan tengah hari mereka sampai, Fir sudah pun berada di sebelah Izah. Bersama-sama membelek hadiah pemberian Fir, tangan mereka meramas-ramas antara satu sama lain. Nafas Izah mulai kencang. Pergerakan kaki Izah menjadi semacam dan mengepit kuat. Kasut tingginya entah ke mana. Fir menjalarkan tangannya ke paha Izah di bawah meja disebalik kebayanya. Pahanya yang putih pejal itu Fir usap perlahan. Izah bagaikan tidak tertahan dan mendesis perlahan. Izah menutup matanya dan riak mukanya menunjukkan tanda-tanda kerelaan untuk ditelanjangi Fir. Menyedari tingkah laku Izah yang asyik, Fir memaut badan Izah ke arahnya, mengusap leher jinjangnya dengan nafas sebelum mengucup bibir Izah yang sudah terpukau dengan penampilan dan wangian kelelakian Fir sedari awal tadi. Pantas Fir melepaskan segala cengkamannya ke atas Izah, menyedari bahawa mereka bukan bersendirian. Izah nyata puas dengan layanan Fir.

Oh ya, bagaimana dengan Ayu, Fir?

No comments: