Monday, March 9, 2009

Episod 8

"Siapa pulak ni? Macam pernah tengok nombor ni."

Fir mengangkat telefon bimbitnya dan menjawab panggilan itu. Serta-merta mukanya berubah.

"Assalamu`alaikum Fir..."

Izah sedang mengemaskan meja pejabatnya. Hari ini serba tak kena buatnya. Draf laporan daripada ejen pelancongan dibawah seliaannya belum lagi terbentang di mejanya, walaupun sudah dimaklumkan berkali-kali. Bukan sekadar itu, klien berpotensinya membatalkan mesyuarat penting pada saat akhir selain teh panasnya tumpah di atas meja, membuatkannya angin tak tentu hala. Memang konsentrasinya terganggu dek kejadian malam tadi di kamar tidur. Kedamaian dan kasih sayang tidak lagi wujud antaranya dan suami. Apakah yang membuatkan suaminya menjadi harimau kebelakangan ini? Perangai kehaiwanan suaminya ini muncul lama sebelum Fir wujud dalam hidupnya. Apa sudah tidak seronokkah hidup bersamanya? Izah seringkali menangis dan ingin saja melarikan bersama Fir, tetapi mengenangkan anak kembarnya yang tampan seperti Leo dan Astra, hasrat itu dipendamkan saja. Suaminya tidak berapa ambil pusing tentang anak-anaknya, melainkan bermain dengan mereka setiap kali pulang kerja. Itu saja. Selainnya Izah yang uruskan. Sudahlah penat bekerja, penat pula menjaga anak-anak. Jika nasib tak baik, santapan kemarahan atau lebih best, penampar menjamah pipinya.

Benarkah suamiku sudah berubah? Masa bercinta dulu, suamiku seorang yang baik hati dan tiada cacat celanya. Keluargaku memuji suamiku. Tutur katanya dulu amat lembut dan indah. Tetapi kini, sudahlah kuat menghisap rokok membakar peparu, menyimpan rambut panjang ala rockers tidak bergunting rambut mata tiga malahan semakin selekeh. Gayanya tidak seperti seorang eksekutif, tetapi kelihatan seperti perempit jalanan. Tidak cukup dengan itu, tiada lagi kedengaran tutur kata indah nian dan tangannya sudah mula naik. Entah apakah yang merasuk suamiku. Entah apa yang membuatkan suamiku bersikap sebegini. Bukan aku tidak menunaikan tanggungjawab sebagai isteri, malahan terlebih kuah daripada nasi. Apakah silapku? Oh, apakah suamiku juga menyimpan kekasih gelap di luar pengetahuanku? Dengan sekelumit fikiran sebegitu, Izah mengemaskan ruang kerjanya sebelum balik dengan titisan air mata kerinduan terhadap Leo dan Astranya di rumah.

"Wa'alaikumussalam, macam kenal suara ni. Eh, kamu rupanya! Monyet punya adik."

"Ler abang ni. Takkan ler tak kenal suara adik. Ha, abang tak balik ke cuti ni?" leter adiknya dalam telefon.

"Ni nombor baru kamu kan? Haritu abang tak sempat save, sebab masa tu kat tengah jalan. Err, mestilah balik. Abang pun berkira-kira nak balik ni. Rindu kat korang semua. Paduka Seri dan Bonda sihat?"

"Sihat alhamdulillah. Abang jangan balik naik Duke (Ducati) ya. Bawaklah kereta VIP abang tu. Boleh adik test drive. Hahaha. Jangan marah."

"OK, tapi jangan beritahu mereka abang balik ya. Abang nak buat surprise," pinta Fir pada adiknya.

Malam itu Fir balik dahulu ke kondonya. Laju dan penuh yakin kuasa enjin Ducatinya itu membelah kesibukan lebuh raya. Dia mahu keluar semula dengan Honda Accordnya untuk melakukan upacara membeli-belah tahap maksima untuk dibawa pulang. Sesampainya di rumah, Fir berehat sebentar, meminum dua gelas penuh air mineral dan keluar semula membelah lebuh raya sekali lagi, kali ini dengan keretanya. Keretanya hitam berkilat jika diletakkan bendera dan plat kuning diikuti iringan polis trafik memang terserlah karisma perdananya. Mulalah Fir perasan tu. Setelah tiba, Fir memarkir keretanya ke kawasan letak kereta yang disediakan.

Suriani sedang menyorong troli barangannya ke bahagian makanan. Dia sedang memerhatikan semua produk yang dijual. Disemaknya senarai pembelian dan satu persatu barang dimasukkan ke dalam troli. Dia ingin membantu ibunya memasak untuk meraikan sambutan Maulidur Rasul yang telah menjadi tradisi keluarganya. Kali ini dia mahu memasak sesuatu yang berlainan, mungkin juga ingin menjemput Fir datang.

"Ah, sudikah Fir datang ke rumahku yang buruk? Tempatku bukanlah semewah kondonya," keluh Suriani walaupun tidaklah dia mengetahui atau pernah singgahi kediaman Fir yang diminatinya dalam diam.

Kepelbagaian barangan di pasar raya besar ini membuatkan semangat Fir berkobar-kobar. Malam ini dia akan berbelanja membeli barangan untuk dibawa pulang ke kampung. Dia teringin sekali menikmati masakan ibunya. Troli yang mulai penuh dengan pelbagai barang disorongnya untuk ke bahagian lain.

Pandangan Suriani terhenti apabila dia melihat sesuatu yang menarik perhatiannya. Dengan pantas dia menuju ke arah bahagian buku cerita. Novel movie tie-in Twilight karya Stephenie Meyer terjual dan hanya tinggal dua buah sahaja. Dalam keghairahannya, dia terlanggar troli orang dan hanya sepatah perkataan "maaf" mampu diucapkannya. Dia mahukan buku itu sebelum orang lain pantas menyambarnya. Dia amat menyukai karektor Edward Cullen yang kini menjadi kegilaan gadis remaja.

"Apahal pulak melanggar troli aku ni? Tu lah dia, apa la best sangat Edward Cullen si pontianak makan sayur tu? Nyamuk Culex lagi best apa, makan darah," rungut Fir yang masih bengang apabila trolinya dilanggar secara tidak sengaja oleh seorang gadis sebentar tadi.

Fir sedang mencari beberapa alat tulis untuk adik dan anak saudaranya. Melihatkan ramainya gadis remaja berkerumun di sekitar bahagian buku yang mengadakan promosi jualan buku Twilight itu, dia tersengih sinis. Inilah gadis zaman sekarang, katanya. Lagi baik baca buku sejarah, biografi, ensiklopedia ke apa saja yang berfakta daripada membaca novel cinta makhluk pontianak makan sayur berulam belacan cicah budu.

Entahlah jika Ayu atau Suriani meminati bahan bacaan sebegitu. Tidaklah Fir sedari bahawa Suriani berada di kalangan gadis remaja berkerumun itu. Dan tidaklah juga Suriani menyedari troli Fir yang dilanggarnya tadi. Sama-sama saling tak sedari. Dan setelah selesai, Fir menuju ke kaunter pembayaran dengan longgokan barang dalam trolinya. Suriani pula tersenyum girang kerana sempat membeli novel itu dan juga menuju ke kaunter pembayaran.

Petang Jumaat selepas tamat waktu kerja, Fir terus pulang ke kondo, menyiapkan diri dan pulang ke kampungnya di Melaka. Sepanjang hari itu, kelibat Ayu, Suriani mahupun Tina tidak kelihatan. Cuma ada beberapa mesej daripada Izah dan Ayu yang dilayannya sekejap. Panggilan daripada Tina mengenai laporan kewangan juga tidak diterima. Fir tidak mahu pusing mengenai kehidupannya sekarang, kerana hatinya membuak-buak ingin bertemu dengan keluarganya. Lagu-lagu Katy Perry, Amanda Seyfried dan Bunga Citra Lestari bersilih ganti menghiburkan pemanduannya.

"Assalamu`alaikum! Adik, mak, abah, Fir dah sampai!"

"Wa`alaikumussalam, eh anak mak! Kenapa balik tak beritahu?" jerit bonda Fir sambil memeluknya.

"Mummy, Fir saja nak surprisekan semua. Cuma adik je yang tahu Fir pulang. Boss mana?" tanya Fir yang merujuk ayahnya sebagai boss.

Sudah tiga bulan Fir tidak menjenguk kampungnya. Kesegaran suasana kampung, jauh dari hiruk-pikuk dan kesibukan ibu negara mengubat jiwa Fir. Ketenangan begini yang dia mahukan. Tiada lagi lehernya sakit melihat pokok besi dan warna-warna selain hijau yang ditinggalkannya. Sepanjang malam itu adalah milik Fir dan keluarganya. Sepupu dan anak saudaranya juga berada di rumah, membuatkan kemeriahan terasa benar. Seperti balik berhari raya, padahal menyambut Maulidur Rasul sahaja.

Sambutan Maulidur Rasul di kampungnya adalah sederhana tetapi meriah. Fir seronok sekali berada di sini. Suasana di masjid kampung amat berbeza jika dibandingkan dengan masjid yang disinggahi setiap hari Jumaat. Setelah selesai menikmati jamuan sempena sambutan itu di rumah bersama kaum kerabat keluarganya, Fir dipanggil ibunya.

"Fir, tadi masa kamu on the way back from masjid, si Amy call kamu."

"Amy? My Amy, mak?"

"Yes, Amy kamu. Dia pesan minta kamu call dia balik."

"Thanks mum. Nanti Fir telefon dia semula."

Siapa pula Amy ni Fir? Macam Katy Perry je bunyinya?

No comments: